KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran disaran menjalankan
kajian terperinci menerusi projek perintis membabitkan beberapa
sekolah sebelum melaksanakan sistem pentaksiran berasaskan sekolah
di seluruh negara.
Hasil kajian untuk tempoh percubaan membabitkan
sekolah pelbagai kategori seperti sekolah luar bandar, dalam bandar,
asrama penuh, kebangsaan dan jenis kebangsaan itu penting bagi meletakkan
masa depan puluhan ribu generasi muda di landasan betul.
Langkah itu perlu diberi perhatian kerana tiga peperiksaan
utama, iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah
Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terbabit dalam sistem
dicadang.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa
dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Mohamad Ali Hassan, berkata
kajian itu juga bagi memastikan guru yang akan dipertanggungjawabkan
untuk melaksanakan penilaian melaksanakannya dengan adil.
“Malah, pelajar juga perlu faham apa yang
perlu dilakukan untuk memperoleh markah yang tinggi ketika mengikuti
pembelajaran dalam kelas,” katanya, semalam.
Kelmarin, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Mahadzir
Mohd Khir, dipetik berkata kementerian mengkaji kemungkinan membenarkan
guru menilai dan memberi markah kepada pelajar untuk digabungkan
dengan markah peperiksaan awam.
Markah akan ditetapkan guru berasaskan ujian terhadap
kemahiran pelajar mengaplikasi kandungan subjek, pembabitan dalam
kelas dan kegiatan kokurikulum.
Namun, pentaksiran berasaskan sekolah itu tidak
bermakna tugas Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sebagai badan
penilaian dan pentaksiran hilang kewibawaannya.
Mohamad Ali juga berkata, sistem pentaksiran perlu
dilaksanakan berdasarkan nisbah 40:60 dengan 60 peratus membabitkan
markah peperiksaan awam.
“Kementerian harus memastikan sistem pentaksiran
dilaksanakan secara profesional, telus, adil dan tidak memihak kepada
mana-mana golongan atau individu,” katanya.