KUALA
LUMPUR : Peratusan tinggi calon Penilaian Menengah Rendah
(PMR) 2007 yang memperoleh Gred A,B,C dan D bagi mata
pelajaran Matematik dan Sains belum boleh dianggap sebagai
menunjukkan keberkesanan penguasaan pelajar dalam bahasa
Inggeris untuk kedua-dua subjek itu.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan
Kebangsaan (NUTP), Anuar Ibrahim, berkata ini kerana sebahagian
besar calon menjawab soalan dalam bahasa Melayu sepenuhnya
dan ramai juga menjawab soalan bercampur dua bahasa iaitu
bahasa Melayu dan Inggeris.
Sehubungan itu, beliau berkata, kajian
yang dijalankan Kementerian Pelajaran perlu mengambil
kira keberkesanan sistem itu secara keseluruhannya serta
memperkasakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Sains
dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
"Kita tak boleh lihat keputusan Sains dan Matematik
itu sebagai keberkesanan dan penguasaan pelajar dalam
bahasa Inggeris... ia tak jelas lagi sebab sebahagian
besar pelajar menjawab sepenuhnya dalam bahasa Melayu,”
katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Keputusan PMR 2007 yang diumumkan kelmarin
bagi Matematik menunjukkan peratusan calon menguasai kemahiran
pada Gred A,B,C dan D meningkat ketara, iaitu 87.0 peratus
berbanding 82.8 peratus tahun lalu, manakala Sains adalah
agak stabil iaitu 89.1 peratus berbanding 90.2 peratus
tahun lalu.
Bagi mata pelajaran Sains untuk PMR tahun
ini, seramai 298,293 atau 65 peratus calon menjawab dalam
bahasa Melayu sepenuhnya, 98,469 (21.5 peratus ) bahasa
Inggeris sepenuhnya dan 151,801 (33.1 peratus) bercampur
dua bahasa itu.
Kelmarin, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd
Dom, berkata PPSMI akan diteruskan sehingga kajian mengenainya
selesai dijalankan sebelum hujung tahun depan.
Oktober lalu, Menteri Pelajaran, Datuk
Seri Hishammuddin Hussein, berkata kerajaan memutuskan
peperiksaan subjek Matematik dan Sains dalam Ujian Pencapaian
Sekolah Rendah (UPSR) diteruskan dalam dwibahasa, iaitu
bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan
sementara kajian menyeluruh mengenainya selesai.
Anuar berkata, meskipun 87.0 peratus
dan 89.1 peratus masing-masing bagi Matematik dan Sains
itu adalah membanggakan dan baik, ia ia belum mencapai
tahap cemerlang iaitu 95 peratus ke atas.
“Kita tak tolak PPSMI, tapi kita
minta latihan kepada guru-guru ditingkatkan lagi,”
katanya.
Presiden Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia
(Kongres), Jemale Paiman, pula berkata peratusan tinggi
itu menunjukkan pemahaman bahasa Inggeris di kalangan
pelajar walaupun sebahagian besar mereka menjawab dalam
bahasa Melayu.
Katanya, PPSMI juga memberi peluang kepada
guru meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris melalui kursus
yang dihadiri, seterusnya dipraktikkan ketika mengajar.
“Kementerian Pelajaran perlu mengambil
kira pandangan semua pihak, selain kajian yang dilakukan
kementerian dalam membuat keputusan berhubung kedudukan
PPSMI,” katanya.
|