SEMPENA
tahun baru 2008, pelbagai pihak berharap bidang pendidikan
negara akan terus berkembang pesat bagi mencapai matlamat
Malaysia menjadi hab kecemerlangan pendidikan, sekali
gus menjana modal insan holistik dan bermutu tinggi.
Pada masa sama, mereka turut meminta
kerajaan memberi perhatian serius terhadap kebajikan guru
dengan melaksanakan pelbagai inisiatif penambahbaikan,
terutama menangani isu berkaitan perjawatan dan peluang
kenaikan pangkat secara berkesan.
Tokoh pendidikan, Tan Sri Dr Abdul Rahman
Arshad, berkata kemajuan pendidikan amat penting untuk
melahirkan modal insan berkebolehan dan berkeupayaan sesuai
dengan keperluan negara serta cabaran globalisasi.
Justeru, sebagai langkah persediaan merealisasikan
hasrat berkenaan, bekas Ketua Pengarah Pelajaran itu berkata,
antara aspek utama harus diberi penekanan ialah memastikan
kualiti pendidikan sentiasa terpelihara tanpa kompromi.
Selain itu, katanya, berusaha melahirkan
lepasan sekolah yang bukan saja boleh menghafal tetapi
memiliki kuasa fikir, intelek, inovasi dan reka cipta
bertepatan Falsafah Pendidikan Negara serta mempunyai
nilai moral tinggi.
“Seterusnya, mengatasi jurang perbezaan
mutu pendidikan antara sekolah bandar dan luar bandar.
Segala usaha ini harus bermula dari akar umbi, iaitu peringkat
sekolah rendah.
“Ini kerana kemajuan dan kemantapan pendidikan bermula
peringkat berkenaan secara langsung akan menyelesaikan
banyak masalah dalam proses penjanaan modal insan pada
tahap sekolah menengah pula,” katanya kepada Berita
Harian, semalam.
Dalam konteks berkaitan, Abdul Rahman
menegaskan, kecemerlangan bidang pendidikan negara harus
dilengkapi dengan kemajuan intelek, moral, nilai estetika
secara holistik, kesedaran tanggungjawab terhadap negara
dan juga nilai sosial masyarakat.
Bagaimanapun, katanya, perubahan dalam
bidang pendidikan tidak boleh dilakukan sekali gus kerana
ia memerlukan sumber mencukupi, terutama dari segi keperluan
kewangan dan tenaga.
“Usaha ini amat memerlukan penggemblengan
sumber tenaga secara berkesan dengan pembekalan kelengkapan
mencukupi dan kepemimpinan sekolah yang jitu.
“Selain itu, guru berdedikasi serta maju yang mendapat
pendedahan ilmu pengetahuan terkini kerana pendidikan
bukanlah suatu bidang statik,” katanya.
Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan
Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) pula berharap warga
pendidik memberi komitmen penuh untuk menjayakan matlamat
Pelan Tindakan Pembangunan Pendidikan.
Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata
guru juga perlu lebih komited terhadap tugas bagi melahirkan
pelajar berfikiran kritis dan menguasai kemahiran menulis,
membaca dan mengira dengan mantap pada semua peringkat
pendidikan.
Dalam pada itu, beliau berkata, NUTP
juga berharap Kementerian Pelajaran akan menyelesaikan
beberapa isu kritikal berhubung kebajikan guru, termasuk
mempercepat proses pelarasan gaji dan urusan kenaikan
pangkat.
|