NUTP Mahu Kementerian Pelajaran Lebih Responsif Terhadap Masalah Guru

 

 

 

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini mendakwa beberapa tindakan Kementerian Pelajaran sejak awal tahun ini, termasuk penstrukturan semula sekolah, telah menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan guru.

Presiden NUTP Anuar Ibrahim berkata kebanyakan tindakan yang diambil oleh kementerian dibuat tanpa mengadakan perbincangan dengan pihak kesatuan, dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati para guru.

Katanya penstrukturan semula sekolah yang dilakukan kementerian bermula Januari lepas yang melibatkan kenaikan pangkat secara terus terhadap tenaga pengajar tingkatan enam menyebabkan guru-guru lain kurang berpuas hati.

"Sedangkan guru-guru yang mengajar di tingkatan lain tidak dinaikkan pangkat dan disisihkan," katanya pada sidang akhbar di sini hari Jumaat.

Anuar berkata menerusi penstrukturan itu, guru yang mengajar tingkatan enam dinaikkan secara terus ke gred antara DG 44 hingga DG 52, menyebabkan ada di antara mereka yang dinaikkan pangkat itu mempunyai gred yang lebih tinggi daripada Penolong Kanan sekolah.

Anuar berkata selain itu mulai Februari lepas, para guru turut dikenakan pemotongan pembayaran cukai berjadual (PCB) yang terlalu tinggi iaitu antara RM200 dan RM1,000 setiap bulan.

"Apabila ramai guru yang menyatakan kurang berpuas hati terhadap potongan itu, kami pun tidak tahu bagaimana hendak menerangkannya kerana kami juga tidak dibawa berbincang tentang hal itu," katanya.

Beliau mendakwa pihak kesatuan tidak dipanggil untuk berbincang mengenai keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menghentikan serta-merta mulai Januari lepas bayaran insentif perkhidmatan kritikal (BIPK) kepada guru yang mengajar mata pelajaran ketukangan.

Pihak kesatuan hanya mengetahuinya melalui surat pekeiling JPA, katanya.

Beliau berkata para guru juga tidak puas hati dengan tindakan kementerian yang tidak meletakkan guru bukan siswazah yang baru mendapat ijazah di gred yang bersesuaian tanpa mengambil kira pengalaman mereka.

"Bayangkan ada guru-guru berpengalaman ini yang baru mendapat ijazah dengan menggunakan perbelanjaan sendiri kini mendapat gaji yang lebih rendah daripada masa sebelum mereka mendapat ijazah," katanya.

Anuar berkata ini tidak selari dengan visi Kementerian Pelajaran yang bermatlamat melahirkan semua guru yang berkelulusan ijazah. "Ini menyebabkan 70,000 guru yang menyambung pelajaran atas inisiatif sendiri tidak berpuas hati apabia diletakkan di gred yang rendah sedangkan penjawat awam sektor perubatan dan imigresen yang turut menyambung pelajaran dapat diserap ke gred yang lebih tinggi mengikut tahun pengalaman perkhidmatan mereka," katanya.

Anuar berharap Kementerian Pelajaran tidak mengetepikan segala permasalahan dan isu yang berbangkit membabitkan guru, selain diharap dapat memberi perhatian terhadap isu yang dibangkitkan itu memandangkan NUTP adalah badan yang menjadi suara kepada 135,000 guru di seluruh negara.

"Banyak kali surat atau aduan yang dibuat oleh kami tidak mendapat maklum balas dan tindakan susulan daripada Kementerian Pelajaran," katanya.

-- BERNAMA

 
Laman Utama      Tentang Kami      Organisasi      Pendaftaran      Perkhidmatan      Keahlian      Hubungi Kami
                                                                           nutp.org © 2005 • Polisi Sulit • Terma-terma yang digunakan