| |
KUALA LUMPUR 29 Mac - Krisis kekurangan
guru di Selangor berpunca daripada kegagalan Jabatan Pelajaran
Selangor (JPS) membuat unjuran penambahan jumlah murid
secara tepat dengan jumlah guru yang diperlukan.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan
(NUTP), Lok Yim Pheng berkata, keadaan itu tidak harus
berlaku kerana kerja-kerja tersebut dibuat secara rutin
setiap tahun.
Ujarnya, situasi itu diburukkan lagi dengan kegagalan
pihak Kementerian Pelajaran menguruskan penempatan bakal
guru yang sepatutnya boleh digunakan berkhidmat di negeri
tersebut.
“Sebagai contoh NUTP telah dimaklumkan bahawa terdapat
80 bekas graduan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI)
yang telah ditemuduga tetapi sehingga sekarang masih belum
dipanggil untuk berkhidmat.
“Mereka ini telah menjalani temuduga pada bulan
Oktober tahun lepas dan saya percaya jumlahnya adalah
jauh lebih besar,” katanya kepada Mingguan Malaysia
di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan
terkini krisis kekurangan guru di Selangor yang berlaku
sejak bermulanya sesi persekolahan tahun ini.
Krisis yang berlaku di sebahagian besar sekolah rendah
di negeri itu telah menjejaskan proses pengajaran dan
pembelajaran.
Ketika mengesahkan perkara tersebut Yim Pheng berkata
pihaknya menerima maklumat bahawa sekolah-sekolah di Petaling
Perdana contohnya, mengalami kekurangan 187 guru.
Penempatan graduan
Yim Pheng berkata, menyegerakan penempatan graduan UPSI
dan fakulti pendidikan universiti-universiti tempatan
adalah antara jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah
itu.
“Saya percaya jika semua pihak melakukan tugas dengan
berkesan termasuk usaha ini (menempatkan bakal guru) masalah
tersebut bukan sahaja dapat kita atasi malah ia pasti
dapat dielakkan pada masa akan datang,” katanya
lagi.
Beliau berkata, NUTP turut meminta kementerian memberi
pertimbangan sewajarnya terhadap permohonan guru yang
mahu berpindah ke Selangor.
“NUTP mendapat tahu ada guru yang kini berkhidmat
di negeri lain mahu berpindah ke Selangor. Malangnya permohonan
mereka ditolak atas sebab-sebab tertentu.
“Kesatuan amat berharap pihak Kementerian memberi
pertimbangan yang sewajarnya dalam perkara ini. Ini juga
adalah salah satu jalan penyelesaian selain membenarkan
pengambilan guru sandaran tidak terlatih (GSTT),”
katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, semua Jabatan
Pelajaran negeri perlu memastikan ketepatan unjuran jumlah
murid dengan guru sebelum bermulanya sesi persekolahan
supaya isu sama tidak berulang pada masa akan datang.
“Apa yang berlaku di Selangor ini harus menjadi
pengajaran kepada kita semua kerana yang menjadi mangsa
akhirnya ialah murid-murid kita,” tambahnya.
Utusan Malaysia--30.3.2008
|
|