Oleh Amin Ridzuan Ishak
KUALA LUMPUR: Guru di seluruh negara dijangka menerima
`hadiah istimewa' pada sambutan Hari Guru tahun ini iaitu
kenaikan pangkat atau gred sebagai tanda penghargaan kerajaan
terhadap pengorbanan besar mereka.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mat Dom, berkata
berita gembira berkenaan akan diumumkan Perdana Menteri
pada perayaan Hari Guru 2008 peringkat kebangsaan, Jumaat
depan di Dewan Sri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara itu
kerana ingin memastikan pengumuman oleh Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi itu nanti menjadi `kejutan menggembirakan'
buat guru kepada guru sebagai dorongan untuk terus maju.
"Apa yang boleh saya katakan ialah pengumuman bakal
dilakukan ialah berkaitan cadangan yang dikumpulkan sejak
dulu lagi menerusi memorandum pelbagai pihak, termasuk
kesatuan guru yang dikaji Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
"Insentif khusus ini sebagai tanda penghargaan kerajaan
terhadap golongan guru selama ini dalam membina serta
membangunkan modal insan berkualiti bagi menjadikan Malaysia
setanding negara maju lain," katanya ketika dihubungi
di sini, semalam.
Berdasarkan laporan media sebelum ini, beberapa perkara
berkaitan kenaikan pangkat atau gred dituntut pelbagai
pihak, antaranya Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan
(NUTP).
Tuntutan lain yang dimajukan kepada Kementerian Pelajaran
untuk diselesaikan segera adalah masalah guru bukan siswazah
yang mendapat gaji rendah walaupun dinaikkan gred DG41
selepas menamatkan pengajian peringkat ijazah dan kenaikan
pangkat menerusi sistem `time-based' bagi guru gred DGA29
ke DGA32.
Tuntutan ini dibuat berikutan dakwaan guru yang mereka
tidak dinaikkan pangkat walaupun sudah berkhidmat melebihi
10 tahun serta lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) sekurang-kurangnya
tahap III.
Alimuddin berkata, pemberian insentif memang sering dilakukan
pada setiap sambutan Hari Guru dan tahun ini, tumpuan
diberikan kepada kenaikan pangkat guru terutama yang layak.
Pada sambutan tahun lalu, Abdullah mengumumkan skim kenaikan
pangkat, tetapi ia membabitkan guru besar iaitu kenaikan
gred DGA34 kepada DGA38 bagi guru besar sekolah rendah
bukan siswazah yang menunjukkan prestasi cemerlang.
Menerusinya, 1,600 jawatan itu diwujudkan merangkumi
30 peratus daripada keseluruhan guru besar di seluruh
negara dan sebagai permulaan 300 jawatan berkenaan diisi.
Selain itu, anak guru juga diberi buku teks secara percuma
selain penyediaan dana khas bagi menjaga kebajikan guru
menerusi penubuhan Yayasan Guru Tun Hussein Onn.
BH-- 14.05.08
|