| |
KUALA LUMPUR 23 Julai
- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa
kerajaan menimbangkan pemberian insentif kepada guru-guru
dalam kumpulan DG44 dari kumpulan bukan siswazah.
Mereka merupakan kumpulan guru yang telah berkhidmat selama
tiga tahun, tetapi dianggap mempunyai penghalaman satu
tahun sahaja.
Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng berkata, ini menyebabkan
guru-guru yang kurang berpengalaman 'melangkaui' guru-guru
DG44 dari segi pemberian insentif sehingga mengakibatkan
perasaan kurang senang.
Menurutnya, kumpulan itu juga tidak menerima tawaran kenaikan
gaji seperti yang diterima oleh guru-guru yang berada
dalam kumpulan DGA 29 dan DG41, baru-baru ini.
Katanya, NUTP juga meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
agar lebih prihatin dan peka terhadap pandangan dan keluhan
pihak guru.
''Jangan jadikan guru-guru yang sentiasa taat setia kepada
kerajaan ini sebagai mangsa,'' kata beliau dalam kenyataannya,
di sini hari ini.
Tambah beliau, sebenarnya kumpulan guru DG44 adalah guru
berpengalaman, tetapi telah dianaktirikan dalam dua situasi
tersebut.
Beliau seterusnya memberitahu, sejak kebelakangan ini,
beban kerja guru-guru berlipat ganda tetapi mereka tetap
menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik.
Justeru, tambah beliau, pihak kerajaan harus mengambil
kira situasi sebenar setiap warga pendidik dan memberi
segala kemudahan dengan sama rata tanpa mengabaikan sesiapa.
UM-- 23.08.08
|
|