| |
Oleh HASHNAN ABDULLAH
PUTRAJAYA 1 Ogos - Kementerian Pelajaran
menubuhkan tiga bahagian baru bagi memperkasakan sistem
pendidikan negara di bawah penstrukturan semula kementerian
itu yang bermula sejak Mac lalu.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar)
berkata, tiga bahagian baru tersebut adalah Bahagian Pengurusan
Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster, Bahagian
Psikologi dan Kaunseling dan Unit Pengurusan Sumber Manusia.
''Di samping itu, sektor pendidikan juga dibahagikan kepada
tiga teras utama iaitu Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan,
Sektor Operasi Pendidikan dan Sektor Pembangunan Profesionalisme.
''Menerusi penstrukturan semula itu, sebanyak 17 jawatan
guru dan pegawai telah dinaikkan gred," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis
Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2007 dan Perhimpunan
Bulan Ogos di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee
Ka Siong.
Seramai 354 pegawai dan guru menerima APC 2007.
Kali terakhir proses penstrukturan semula kementerian
dilakukan pada 1995.
Hishammuddin memberitahu, bagi memastikan sistem penyampaian
pendidikan dapat disalurkan dengan lebih berkesan, pemantapan
organisasi turut dilaksanakan di peringkat pejabat pelajaran
daerah (PPD).
''Keputusan kerajaan untuk meluluskan penubuhan lapan
PPD baru telah mewujudkan 92 jawatan baru dan daripada
jumlah tersebut, 52 jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan
(PPP).
''Selain itu, 20 jawatan Pegawai Pelajaran Daerah Model
A yang melibatkan negeri Johor, Kedah, Kelantan, Melaka,
Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu
dan Kuala Lumpur, telah dinaikkan gred," katanya.
UM--
|
|