Oleh Haika Khazi
CYBERJAYA: Kerajaan bercadang mengurangkan pengambilan
guru siswazah menerusi Kursus Perguruan Lepasan Ijazah
(KPLI) selepas Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh
negara mula mengeluarkan tenaga pengajar berkelulusan
ijazah pada 2011.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata
ia sejajar keputusan Dewan Rakyat kelmarin meluluskan
Akta Pendidikan 1996 (pindaan 2008) yang membenarkan IPG
menyediakan kursus perguruan peringkat ijazah.
Beliau berkata, pengambilan guru siswazah menerusi KPLI
adalah sementara dan berdasarkan keperluan atau kekosongan
jawatan.
"Ketika ini, IPG hanya boleh mengeluarkan guru lepasan
diploma dan sijil. Bagaimanapun, selepas Akta Pendidikan
1996 diluluskan, ia boleh melahirkan lebih ramai guru
siswazah dalam tempoh tiga tahun lagi. Berikutan itu,
kita perlu mengurangkan pengambilan guru program KPLI
secara berperingkat pada masa depan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail merasmikan
Konvensyen Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Sekolah Seri
Puteri, di sini semalam. Hadir sama, Pengarah Bahagian
Pengurusan SBP dan Sekolah Kluster kementerian itu, Datin
Dr Siti Zaleha Abdullah Sani.
Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, kementerian tidak
berhasrat memansuhkan sepenuhnya program KPLI kerana ia
masih diperlukan bagi menampung kekurangan guru disebabkan
bersara, dinaikkan pangkat atau pembukaan sekolah baru.
Sementara itu, Alimuddin berkata, pihaknya sedia mengkaji
semula pemberian insentif dan syarat kenaikan pangkat
guru bukan siswazah gred DG44 ke DG48, selepas menerima
permohonan rasmi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan
(NUTP).
|