Oleh Amin Ridzuan Ishak
Tiada pengangkutan khas bebankan pendidik bawa pelajar
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan
(NUTP) meminta Kementerian Pelajaran memberikan subsidi
petrol dan diesel khusus kepada guru yang terpaksa membawa
murid di luar kawasan sekolah.
Presiden NUTP, Anuar Ibrahim, berkata kini guru terpaksa
menanggung perbelanjaan mengisi minyak kenderaan bagi
membawa murid terutama untuk aktiviti di luar kawasan
sekolah berikutan ketiadaan pengangkutan khas disediakan.
Katanya, ini jelas membebankan guru dan walaupun mereka
boleh membuat tuntutan semula terhadap perbelanjaan itu,
prosesnya mengambil masa panjang dengan guru tidak boleh
bertahan menunggu pembayaran tuntutan semula itu.
“Kita minta subsidi diesel dan petrol daripada
kerajaan bertujuan meringankan beban guru, terutama yang
mengajar di kawasan kurang pengangkutan awam atau sekolah
tiada bas sendiri seperti di pedalaman.
“Mereka terpaksa membawa murid ke sesebuah destinasi
atau menghantarnya pulang berikutan ketiadaan pengangkutan.
“Guru di bandar tidak mengalami masalah seperti
ini kerana kemudahan (pengangkutan) mencukupi,”
katanya di sini.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, pihaknya mencadangkan
dua pendekatan digunakan kerajaan bagi membolehkan penjimatan
dilakukan walaupun pemberian subsidi itu diberikan kepada
guru terbabit.
“Satu, subsidi hanya diberikan kepada guru mengajar
di sekolah tidak mempunyai bas sendiri atau tiada pengangkutan
awam.
“Mereka memerlukannya kerana terpaksa menggunakan
kenderaan sendiri berikutan situasi dihadapi.
“Langkah kedua dengan membekalkan sebuah bas dilengkapi
pemandu kepada sekolah mempunyai lebih 1,000 orang dan
‘coaster’ kepada sekolah kurang 1,000 pelajar.
“Dua pendekatan itu boleh diambil kerana tidak
semua sekolah sesuai serta boleh dibekalkan bas yang bergantung
kepada bentuk geografi kawasan,” katanya.
|