KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Guru-guru
bukan siswazah gred DG44 turut berpeluang dinaikkan pangkat
ke gred DG48 secepat guru siswazah, kata Pengerusi Kesatuan
Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Anuar
Ibrahim hari ini.
Ekoran itu, katanya kumpulan guru terbabit diminta mengemukakan
butiran prestasi dan pengalaman mereka kepada NUTP bagi
membolehkan satu kertas kerja dipanjangkan kepada Ketua
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung perkara
itu.
" Maklumat ini akan membantu JPA mempercepatkan
proses kenaikan pangkat itu," katanya kepada pemberita
pada sidang media mengenai Persidangan Perwakilan tri-tahunan
NUTP kali ke-18, di sini hari ini.
Beliau berkata perbincangan dengan JPA Selasa lepas diadakan
berikutan ramai guru bukan siswazah gred DG44 berpendapat
adalah tidak adil guru siswazah yang memperoleh kenaikan
pangkat lebih cepat daripada mereka sedangkan mereka lebih
lama menabur bakti kepada negara dan masyarakat dalam
bidang pendidikan.
"Jika isu ini dibiarkan berlarutan, ia akan melahirkan
suasana tidak harmoni di sekolah terutamanya dalam urusan
perkhidmatan dan pengurusan sekolah," katanya.
Mengenai persidangan NUTP yang akan diadakan di Batu
Ferringhi, Pulau Pinang dari 24 hingga 27 Ogos ini, Anuar
berkata satu daripada 65 isu yang akan diusulkan nanti
adalah berkaitan subsidi minyak untuk guru yang menghantar
pelajar mereka melakukan aktiviti ko-kurikulum di luar
kawasan sekolah.
Katanya isu ini amat penting untuk dibahaskan kerana
ia melibatkan keselamatan dan insurans pelajar dan guru
yang dalam perjalanan.
-- BERNAMA
|