|
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan
(NUTP), semalam menolak pelaksanaan sistem Pengajaran
dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris
(PPSMI) di peringkat sekolah rendah.
Pendirian terbaru kesatuan mewakili 135,000 guru itu
yang sebelum ini menyokong program dilaksanakan Kementerian
Pelajaran sejak 2003 diputuskan ketika Persidangan Perwakilan
NUTP ke-18 di Pulau Pinang pada 24 hingga 27 Ogos lalu.
Setiausaha Agung NUTP, Loke Yim Pheng, berkata delegasi
menolaknya selepas mendapati majoriti murid di sekolah
rendah mengalami kesukaran mengikutinya terutama dari
segi memahami istilah Sains serta Matematik dalam Bahasa
Inggeris.
"Menerusi maklumat dan pandangan diterima daripada
guru terbabit dalam PPSMI, murid di sekolah rendah terutama
mereka di tahap satu (tahun satu hingga tiga) masih gagal
menguasai istilah dua subjek itu ketika diajar dalam Bahasa
Inggeris.
"Ia menyebabkan guru turut mengalami kesukaran mengajar
kerana murid langsung tidak memahami apa yang diajar guru.
Sehubungan itu, ahli menolak PSSMI di sekolah rendah kerana
tiada faedah diperoleh jika situasi berkenaan berterusan.
"Bagaimanapun, NUTP tetap menyokong pelaksanaan PSSMI
di peringkat sekolah menengah kerana murid masih boleh
mengikutinya dengan baik kerana sudah mendapat sedikit
pendedahan dari segi istilah," katanya ketika dihubungi
Berita Harian di sini, semalam.
Pada 2002, Kabinet memutuskan Bahasa Inggeris digunakan
dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik
bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan serta
kualiti murid bagi melahirkan modal insan berkualiti.
Keputusan sama ada pengajaran dan pembelajaran subjek
itu akan kembali diajar dalam bahasa Malaysia akan ditentukan
pada akhir tahun ini dengan keputusan Ujian Pencapaian
Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini akan diambil kira dalam
menentukannya.
Selain itu, Kementerian Pelajaran juga menggunakan resolusi
Persidangan Meja Bulat PPSMI yang dianggotai tokoh akademik,
penyelidik dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk
meneliti laporan kajian, tinjauan dan pemantauan berkaitan
pelaksanaan PPSMI.
Mengulas lanjut, Loke berkata, pendirian NUTP itu tidak
bermaksud pihaknya menolak serta merta PPSMI di sekolah
rendah sebaliknya mencadangkan supaya ia melalui proses
penambahbaikan sebelum diperkenalkan semula.
"Kami mencadangkan supaya istilah Sains dan Matematik
diajar dalam silibus subjek Bahasa Inggeris bermula dari
peringkat prasekolah sehingga darjah tiga bagi memantapkan
lagi penguasaan bahasa berkenaan.
"Selepas yakin murid dari peringkat itu sudah boleh
menguasai Bahasa Inggeris dengan baik, kerajaan mungkin
boleh mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula PPSMI
di sistem pendidikan negara," katanya.
Oleh Amin Ridzuan
Ishak
aminridzuan@bharian.com.my
|