|
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan
(NUTP) akan mengemukakan memorandum kepada kerajaan bagi
mengusulkan skim gaji bersepadu khusus untuk kira-kira
350,000 guru siswazah dan bukan siswazah di seluruh negara,
akhir tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.
Presidennya, Hashim Adnan, berkata struktur skim gaji
itu disediakan dengan khidmat pakar swasta dan akan menyediakan
laluan kerjaya lebih baik serta teratur sama taraf atau
seimbang kepada guru, di samping memberi penekanan kepada
sistem ganjaran untuk mereka yang ada nilai tambah.
Katanya, sistem ganjaran itu antara lain memberi pengiktirafan
secara peningkatan skim gaji kepada guru siswazah yang
meningkatkan kelayakan akademik ke peringkat ijazah sarjana
dan doktor falsafah (PhD).
Beliau berkata, skim gaji ketika ini tidak memperuntukkan
penambahbaikan kepada guru siswazah yang melanjutkan pelajaran
sehingga menyebabkan ada yang meletak jawatan atau menyertai
profesion mengajar di institusi lebih tinggi.
Hashim berkata, skim bersepadu berkenaan turut membolehkan
guru bukan siswazah menikmati kesinambungan tangga gaji
sebagai guru siswazah dengan mengambil kira pengalaman
mereka.
"NUTP mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran menyediakan
kursus khas kepada guru bukan siswazah apabila tamat mengikutinya,
terus diiktiraf sebagai guru siswazah.
"Langkah penyeragaman skim gaji bersepadu amat perlu
kerana keadaan sekarang terlalu kompleks kerana banyak
kumpulan guru siswazah dan bukan siswazah menjalankan
tugas sama di bawah satu sekolah sehingga mencetuskan
perasaan tidak puas hati," katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, usul itu ialah antara perkara yang dipersetujui
pada Persidangan Perwakilan NUTP ke-18 di Pulau Pinang,
baru-baru ini, dan bengkel khusus diadakan dalam waktu
terdekat bagi mengumpul input berkaitan secara terperinci.
Sebagai presiden baru NUTP bagi sesi 2008-2011 menggantikan
Anuar Ibrahim, Hashim, 52, turut berazam meningkatkan
keahlian kesatuan itu kepada 200,000 menjelang 2015 berbanding
135,000 ketika ini, membela nasib guru gred DGA29/DG41
yang berada dalam DG44 serta memartabatkan profesion keguruan
secara keseluruhan.
Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng, yang turut hadir
pada sidang akhbar sama pula berkata, guru sebagai kumpulan
kakitangan awam terbesar memerlukan skim gaji berasingan,
antara lain bagi memudahkan kerajaan membuat pertimbangan
terhadap tuntutan dikemukakan.
Bukan itu saja, katanya, beberapa jawatan baru juga perlu
diwujudkan di sekolah seperti setiausaha peperiksaan,
ketua guru disiplin, pembantu guru dan guru kokurikulum,
selain menambah staf sokongan
Sementara itu mengenai pendirian NUTP supaya dasar pengajaran
dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris
(PPSMI) hanya dijalankan pada peringkat sekolah menengah
pula, Hashim berkata, kesatuan berkenaan akan tetap akur
sekiranya kerajaan memutuskan untuk meneruskan pelaksanaan
di sekolah rendah seperti sekarang.
Oleh Syuhada Choo Abdullah
|