'Pantau kualiti ikan air tawar'

 

 

KUALA LUMPUR: Kebanyakan pihak mahu supaya pemantauan terhadap kualiti ikan air tawar yang dibekalkan ke sekolah dilakukan terlebih dulu sebelum dijual kepada pengusaha kantin bagi memastikan ia bersih dan selamat.

Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan berkata, cadangan itu adalah satu langkah tepat untuk menyediakan makanan segar kepada pelajar sekolah selain membantu memasarkan ikan air tawar.

"Kita harap pemantauan dari segi kualiti, penyediaan makanan dan harga dapat dilakukan sekerap mungkin untuk memastikan makanan yang dijual kepada pelajar bersih, berkhasiat dan mampu dibeli.
"Bagaimanapun, untuk memastikan usaha itu berjaya, perlu wujud kerjasama dan persefahaman antara pengusaha kantin dengan pembekal ikan air tawar supaya tidak berlaku kekurangan bekalan.," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau mengulas cadangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang mahu mewajibkan penggunaan ikan air tawar sebagai sajian makanan di setiap asrama sekolah tidak lama lagi.

Minggu lalu, akhbar ini melaporkan ikan air tawar akan dijadikan sebagai satu sajian di kantin sekolah dan sebagai permulaan semua asrama di sekolah akan diwajibkan menyediakan menu berasaskan produk itu sekurang-kurangnya seminggu sekali.
Mohd Ali berkata, bagi memastikan cadangan itu mendapat sambutan, menu mestilah dipelbagaikan supaya pelajar tidak bosan dengan hidangan yang sama setiap minggu.

atau setiap hari apabila ia dilaksanakan kelak.

"Cadangan itu tidak sepatutnya terbatas kepada ikan air tawar saja tetapi produk tempatan lain seperti buah-buahan dan hasil keluaran Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) juga perlu diketengahkan.

"Pasaran produk tempatan seperti buah-buahan dan ikan air tawar di sekolah bukan saja membantu meningkatkan permintaan produk berkenaan malah menarik minat pelajar untuk turut sama menceburkan diri dalam bidang pertanian," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, kerajaan harus memastikan bekalan ikan air tawar itu mencukupi dan bersih supaya tidak timbul masalah keracunan makanan yang sering terjadi akhir-akhir ini.

"Cadangan itu bagus cuma yang menjadi persoalannya adakah mereka boleh memberikan bekalan yang cukup atau tidak kepada pengusaha kantin sekolah.

"Saya harap pemantauan oleh satu badan khusus patut dilakukan untuk memastikan bahan makanan ini sihat dan tidak tercemar kerana kita tidak mahu ia terjadi seperti kes susu sekolah yang tercemar itu," katanya.

 
Laman Utama      Tentang Kami      Organisasi      Pendaftaran      Perkhidmatan      Keahlian      Hubungi Kami
                                                                           nutp.org © 2005 • Polisi Sulit • Terma-terma yang digunakan