| KUALA LUMPUR:
Kementerian Pelajaran diminta mewujudkan jawatan khas
naik pangkat sebagai setiausaha peperiksaan untuk guru
apabila sistem penilaian baru murid sekolah rendah diperkenalkan
pada 2010.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan
(NUTP), Lok Yim Pheng, berkata jawatan khusus itu bagi
memastikan guru tidak dibebani kerja yang semakin banyak
apabila sebahagian besar tugas penilaian murid dipindahkan
kepada sekolah.
Melalui langkah itu, katanya, jumlah waktu mengajar bagi
guru yang menyandang jawatan berkenaan akan dikurangkan,
sebaliknya peranan mereka lebih memfokus kepada pengendalian
segala urusan berkaitan proses peperiksaan di sekolah.
“Dengan adanya kawalan dan pemantauan khusus oleh
guru yang dipertanggungjawab sebagai setiausaha peperiksaan
di sekolah, ia dapat memberi keyakinan kepada ibu bapa
dan masyarakat dari segi jaminan kebolehpercayaan nilai
peperiksaan itu.
“Ini penting kerana sistem baru itu akan turut
menggabungkan markah penilaian dari segi peperiksaan sekolah,
sekali gus menimbulkan persoalan dan kebimbangan terhadap
kemungkinan berlaku pilih kasih,” katanya ketika
dihubungi di sini, semalam.
Beliau mengulas laporan akhbar bahawa mulai 2015, prestasi
murid sekolah rendah tidak akan lagi dinilai sepenuhnya
berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah
(UPSR) kerana peperiksaan itu hanya mewakili 30 peratus
daripada markah keseluruhan murid.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, dipetik
sebagai berkata perubahan itu selaras pelaksanaan sistem
penilaian baru murid sekolah rendah yang akan diperkenalkan
pada 2010 di mana markah diperoleh murid dari Tahun Satu
hingga Enam akan dikumpul dan dikira bagi menentukan pencapaian
mereka sepanjang tempoh terbabit.
Mengikut perancangan, UPSR mewakili kira-kira 30 peratus
daripada markah keseluruhan yang akan digabungkan dengan
empat penilaian lain, iaitu psikometrik (kecenderungan
dan sikap), kokurikulum, peperiksaan sekolah dan peperiksaan
kementerian.
|