| KUCHING:
Dua kesatuan guru di Sarawak menyokong cadangan agar Kesatuan
Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mengumpul
data dan maklumat mengenai kes penganiayaan terhadap guru-guru
yang berlaku di negara ini dengan segera.
Walaupun setakat ini, tiada kes penganiayaan guru dilaporkan
di Sarawak, namun kedua-dua kesatuan itu menyifatkan cadangan
berkenaan perlu demi mempertahankan maruah dan kebajikan
guru yang berkhidmat di negeri ini.
Presiden Kesatuan Guru Sarawak, William Ghani Bina, berkata
cadangan agar NUTP mengumpul data dan maklumat mengenai
kes penganiayaan terhadap guru yang berlaku di negara
ini tepat pada masanya, supaya Kementerian Pelajaran mempunyai
kaedah terbaik untuk menangani pelbagai isu berkaitan
guru di seluruh negara.
Beliau berkata, meskipun sehingga kini, tiada kes penganiayaan
guru dilaporkan di Sarawak namun usaha mengumpul data
dan maklumat mengenai kes penganiayaan terhadap guru yang
berlaku di negara ini perlu dilakukan mulai sekarang.
"Langkah itu, perlu agar NUTP mendapat gambaran
jelas mengenai data dan maklumat penganiayaan terhadap
guru yang sudah berlaku setakat ini.
"STU tidak mahu, selepas berlaku kes penganiayaan
terhadap guru dilaporkan barulah NUTP hendak mengumpul
data dan maklumat," katanya.
Sementara itu, Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS)
berkata cadangan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali
Ismail itu membayangkan beliau melihat
pelbagai masalah yang dihadapi masyarakat guru di negara
ini, setakat ini.
Yang Dipertuanya, Ahmad Malie berkata apa yang disuarakan
Razali selari dengan usahanya untuk memertabatkan kerjaya
perguruan di negara ini pada kini dan akan datang.
Kelmarin, Razali menggesa NUTP mengumpul data dan maklumat
mengenai kes penganiayaan terhadap guru yang berlaku di
negara ini.
Beliau berkata pengumpulan data berkenaan bagi membolehkan
Kementerian Pelajaran mencari kaedah terbaik untuk menangani
isu seperti guru dipukul, disaman dan ditukarkan ke tempat
lain atas alasan yang tidak munasabah.
|