| |
KUALA TERENGGANU
8 Okt. - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP)
diminta mengumpulkan maklumat mengenai kes penganiayaan
terhadap guru- guru di seluruh negara bagi membolehkan
tindakan diambil.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata,
maklumat itu penting bagi membolehkan kementerian mencari
kaedah terbaik untuk menangani isu berkenaan yang sering
dipaparkan melalui media massa.
Menurut beliau, antara kes penganiayaan yang sering dilaporkan
termasuk guru dipukul, disaman dan ditukarkan ke tempat
lain atas alasan yang tidak munasabah.
Selain itu, katanya, campur tangan pihak lain terutama
ibu bapa juga boleh mendatangkan kesan ke atas guru terbabit
yang menyebabkan kesungguhan guru untuk mendidik pelajar
terbantut.
''Akibat daripada perkara itu didapati ada guru yang prestasi
mereka merosot kerana bimbang keselamatan diri dan ini
akan memberi kesan negatif kepada pelajar,'' katanya selepas
majlis motivasi dengan pelajar Sekolah Menengah Agama
Sheikh Abdul Malik di sini hari ini.
Menurutnya, perkara itu akan dikemukakan kepada NUTP pada
masa terdekat dalam usaha membantu kementerian mengenal
pasti dan menangani masalah tersebut.
Dalam perkembangan lain, Razali yang juga Ahli Parlimen
Kuala Terengganu mahu setiap guru membuat persediaan yang
rapi sebelum memulakan pengajaran di dalam kelas.
Katanya, ia bertujuan memastikan guru lebih bersedia dalam
menyampaikan bahan ketika mengajar sekali gus pelajar
dapat memahami apa yang disampaikan.
Selain itu, jelas beliau, kreativiti guru semasa mengajar
juga amat penting supaya pelajar dapat menguasai subjek
yang disampaikan dengan baik.
|
|