Berkley bantu perubahan positif pelajar bertutur bahasa Inggeris

KUANTAN 28 Jun - Selepas enam bulan Holly Berkley, 23, menjadi pembantu guru bahasa Inggeris (ETA) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cenderawasih di sini, sememangnya banyak perubahan berlaku ke atas diri beliau dan pelajar sekolah berkenaan.

Bukan sahaja menjadikan baju kurung sebagai pakaian sehariannya malah yang lebih penting, kehadiran gadis Amerika Syarikat (AS) itu membuatkan pelajar di sekolah tersebut seolah-olah memperoleh keyakinan baru untuk lebih berani bertutur dalam bahasa Inggeris.

Malah kehadirannya yang umpama seorang selebriti terkenal secara automatik membuatkan pelajar menegurnya setiap kali berselisih walaupun dengan hanya sepatah perkataan dalam bahasa Inggeris.

Jika sebelum ini, pelajar-pelajar di sini malu untuk bertutur dalam bahasa tersebut, kini mereka cuba sedaya-upaya membuang sifat malu dan tiada keyakinan diri itu untuk berbahasa Inggeris.

Bagi Siswazah Psikologi daripada Virginia Tech University itu, beliau menggunakan pelbagai pendekatan termasuk aktiviti permainan setiap kali melakukan pembelajaran di dalam kelas.

"Oleh kerana saya tidak fasih dalam bahasa Melayu, saya menarik perhatian mereka untuk cuba bercakap dalam bahasa Inggeris. Selepas mencuba, ramai pelajar yang akhirnya berjaya bertutur dalam bahasa ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Berkley merupakan seorang daripada 16 lepasan ijazah dari AS yang ditempatkan di sekolah-sekolah di negeri ini menerusi program ETA anjuran Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-AS (MACEE).

Katanya, setiap kali perhimpunan pula, beliau akan mengambil sedikit masa untuk mengadakan kuiz dan memberi para pemenang hadiah.

Berkley memberitahu, beliau juga telah menubuhkan pasukan futsal perempuan untuk sekolah ini sejak Februari lalu dan kini berjaya menarik penyertaan kira-kira 30 pelajar.

"Apa yang menarik, setiap kali latihan, pelajar yang terlibat akan berinteraksi dalam bahasa Inggeris dan ia secara tidak langsung dapat meningkatkan penguasaan bahasa ini," katanya yang dikenali sebagai Miss Holly dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, beliau tidak lagi kekok dengan budaya tempatan dan lebih suka mengenakan baju kurung ketika berada di sekolah.

"Saya berasa selesa ketika memakai baju kurung. Saya tidak memilih makanan dan agak menyukai makanan yang pedas," katanya.