PUTRAJAYA 5 Dis. - Institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan perlu mengorak langkah memulakan pendekatan pembelajaran tanpa sempadan dengan menawarkan pembelajaran secara maya atau dalam talian.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pendekatan itu akan membolehkan semua universiti di rantau ASEAN mewujudkan program kerjasama dalam bidang pengajian tertentu ke seluruh dunia.

Dalam usaha itu, beliau mencadangkan Persatuan Institusi Pendidi­kan Tinggi Asia Tenggara (ASAIHL) yang ditubuhkan pada 1956 menjadi peneraju kepada usaha pembelajaran tanpa sempadan itu.

“Sebagai contoh Malaysia boleh membawa program pengajian ke Filipina melalui kaedah francais seperti program berkembar dan lanjutan ijazah. Kemudahan pengajian hendaklah disediakan oleh universiti terlibat dengan program berkembar itu.

“Selain itu, semua universiti di rantau ini boleh mencontohi amalan dan kaedah pembelajaran dari universiti terkemuka contohnya di United Kingdom (UK), Australia dan Amerika Syarikat (AS),” kata­nya dalam ucaptama persidangan ASAIHL 2016, di sini hari ini.

Teks ucaptama beliau dibacakan oleh timbalannya, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching.

Idris berkata, langkah tersebut perlu segera dibincangkan de­ngan lebih lanjut memandang­kan jumlah belia di peringkat ASEAN adalah 145.2 juta pada masa ini.

Menurutnya, kesemua belia dan pelajar tersebut merupakan golong­an terlalu dekat dengan teknologi maklumat, justeru mereka memerlukan pendidikan yang berkualiti tinggi sejajar dengan era teknologi yang terlalu maju.

“Dalam hubungan ini, saya cadangkan agar semua universiti yang berminat ke arah usaha itu hendaklah memastikan program yang akan diperkenalkan nanti turut dimiliki oleh universiti lain,” katanya.

Tambah beliau, rantau ASEAN tidak boleh terus berada pada takuk lama dalam sistem pendidi­kan, sebaliknya perlu mengikut keperluan semasa kera­na pendidi­kan adalah penting untuk menuju ke arah sebuah negara maju.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/perluas-pendidikan-maya-di-univ...