KUALA LUMPUR – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menyambut baik usaha memasang te­levisyen litar tertutup (CCTV) di sekolah-sekolah namun berharap tindakan itu tidak sehingga mengganggu privasi pelajar dan guru-guru.

Presidennya, Kamarozaman Abd. Razak berkata, lokasi pemasangan CCTV sewajarnya tidak menceroboh privasi pelajar dan guru seperti dalam bilik darjah, bilik guru, kawasan tandas dan juga bilik khas untuk pertemuan guru serta ibu bapa.

“Meskipun cadangan untuk memasang CCTV di bilik khas bagi mengelak tohmahan terhadap guru adalah berniat baik, namun saya rasa tidak ada kewajaran kera­na dikhuatiri akan ada yang menularkan rakaman CCTV.

“Ini maruah kanak-kanak, kita perlu jaga aib mereka, privasi seseorang murid perlu dijaga kerana kalau rakaman CCTV itu viral, kesalahan yang dibuat murid itu tidak selesai, jadi cerita lain pula yang lebib parah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel bagi berbincang topik ‘Menangani Disiplin di Sekolah’ di sini malam kelmarin.