PUTRAJAYA, 8 Mac (Bernama) -- Kementerian Pendidikan akan memperhalusi cadangan kod etika ibu bapa, penjaga dan waris apabila datang ke sekolah yang dikemukakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata cadangan kod etika berkenaan bertujuan menjadikan hubungan di antara guru dan ibu bapa positif, dalam suasana muafakat dan harmoni serta bebas daripada sebarang tekanan.

"Saya menyokong penuh cadangan NUTP dan akan memperhalusinya," katanya kepada pemberita selepas menerima cadangan kod etika berkenaan daripada delegasi NUTP yang diketuai Presidennya, Kamarozaman Abd Razak di Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan tidak mahu insiden seperti guru didakwa di mahkamah dan pergaduhan yang pernah dilaporkan berlaku di sekolah sebelum ini berulang.

Kamarozaman ketika ditemui pemberita pula berkata NUTP mengemukakan lapan syor yang perlu dihindari dan 15 syor yang perlu dipatuhi sebagai cadangan kepada Kementerian Pendidikan.....