Minuman bergas jejas kesihatan

Ibu bapa bimbang penjualan di sekolah

KUALA LUMPUR: Minuman berkarbonat didapati dijual secara berleluasa di kantin atau mesin layan diri sekolah atas jenama minuman bertenaga walaupun penjualannya dilarang kerana kandungan gula dan gas berlebihan boleh menjejaskan kesihatan murid. 

Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Chin Yit Siew, berkata pengambilan berlebihan minuman bertenaga boleh menyebabkan pelbagai penyakit antaranya kencing manis dan obesiti.

Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa atau penjaga melarang anak mereka mengambil minuman berkenaan bagi mengelak kesihatan mereka terjejas.

“Setiap jenama minuman berkarbonat atau minuman bertenaga mempunyai kadar gula yang berbeza, dengan ada pada tahap rendah dan tinggi. 

“Fakta saintifik mendapati minuman ini memang tidak sesuai diminum pelajar,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan ibu bapa mengenai penjualan air berkarbonat berstatus minuman bertenaga di kantin dan mesin layan diri di sekolah. 

Terdahulu, akhbar ini melaporkan minuman itu dibenarkan penjualannya di kantin dan mesin layan diri di sekolah. 

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan ibu bapa kerana ia boleh menjejaskan kesihatan anak mereka. Kandungan gula dalam setiap tin minuman bertenaga ialah 6.8 gram bagi setiap 325 mililiter. 

Bagaimanapun, jumlah kandungan gula dalam setiap tin minuman berkarbonat 325 mililiter ialah 11 gram. 

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman mendakwa sehingga kini tidak ada sebarang ketetapan daripada Kementerian Kesihatan mahupun Kementerian Pelajaran mengenai larangan menjual minuman berkarbonat jenama minuman bertenaga. 

Beliau berharap perkara ini diberi perhatian serius oleh kerajaan kerana dikhuatiri pengambilan minuman berkenaan secara berterusan boleh menjejaskan kesihatan pelajar. 

“Keadaan ini membimbangkan dan kementerian perlu membuat ketetapan mengenai status minuman berkarbonat yang didakwa memberi tenaga tambahan,” katanya. 

Mengulas mengenainya, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata minuman bertenaga tidak seharusnya dijual di sekolah atau koperasinya jika ia terbukti menjejaskan kesihatan pelajar. 

“Kita mengutamakan kesihatan pelajar. Sudah tiba masanya untuk membuat keputusan sama ada minuman itu sesuai atau sebaliknya. Jika fakta mendapati ia menjejaskan kesihatan, penjualannya perlu dihentikan segera,” katanya. 

Baru-baru ini, Yang Dipertua Majlis Guru Besar Malaysia (MGBM), Roslan Madun, mengakui ada pengusaha kantin menjual menjual makanan tidak berkhasiat dan minuman berkarbonat serta tidak mengikut garis panduan ditetapkan Kementerian Pelajaran.